“Berapa lama saya boleh bagi anak saya guna internet dalam sehari?”- Panduan kepada Ibu Bapa Dalam Mengawal Penggunaan Internet dan Dunia Digital

30 08-2017
“Berapa lama saya boleh bagi anak saya guna internet dalam sehari?”- Panduan kepada Ibu Bapa Dalam Mengawal Penggunaan Internet dan Dunia Digital

Limiting-Kids-Screen-Time

Sebagai ibu bapa, kita pasti ingin memberi yang terbaik dalam membesarkan anak-anak kita. Dalam dunia digital ini, timbul pelbagai persoalan berkenaan cara terbaik memberi didikan kepada anak-anak terhadap penggunaan internet dan media elektronik. Salah satu soalan yang popular di kalangan ibu bapa ialah, berapa banyak pendedahan boleh kita berikan kepada mereka terhadap dunia digital ini?

Bagi menjawab persoalan ini, perlu ditekankan bahawa pendedahan anak-anak terhadap dunia digital adalah bergantung kepada umur dan peringkat tumbesaran mereka. Di sini disertakan secara ringkas, garis panduan menurut American Academy of Pediatrics yang dikeluarkan pada November 2016;

  • Bagi kanak-kanak di bawah 18 bulan– Anak- anak di peringkat umur ini perlukan interaksi secara fizikal atau ‘hands-on’ bagi membentuk skil kognitif, bahasa, emosi, sosial dan skil motor. Untuk itu, pada peringkat ini, pendedahan digital pada peringkat ini adalah TIDAK DIGALAKKAN sama sekali, dan manfaat pendedahan dunia digital pada peringkat ini adalah sangat terhad. Penggunaan video chat seperti Skype, FaceTime bagi menghubungi ahli keluarga yang berjauhan dibolehkan menurut garis panduan tersebut, tetapi ibu bapa/penjaga perlu memainkan peranan yang penting dalam terus berinteraksi secara fizikal ketika sesi video chat tersebut berlangsung.
  • Bagi kanak-kanak berusia 18 bulan hingga 2 tahun– Jika ibu bapa mahu memberi pendedahan dunia digital, anak-anak di usia begini hanya perlu didedahkan dengan program yang berkualiti tinggi. Antara senarai program yang bersesuaian dengan peringkat umur ini boleh didapati di https://www.commonsensemedia.org/. Ibu bapa/penjaga perlu menonton bersama-sama bagi membantu mereka memahami program tersebut, dan bagi memastikan interaksi terus berlaku di antara ibu bapa/penjaga dan anak.
  • Bagi kanak-kanak berusia 2-5 tahun– Hadkan penggunaan dunia digital kepada SATU JAM SEHARI sahaja, dan terhad kepada program berkualiti tinggi. Antara senarai program yang bersesuaian dengan peringkat umur ini boleh didapati di https://www.commonsensemedia.org/. Ibu bapa/penjaga sekali lagi perlu menonton bersama bagi membantu mereka memahami dan mempraktik apa yang mereka pelajari di dunia sebenar.
  • Bagi anak-anak berusia 5 tahun ke atas– Tiada tempoh spesifik yang ditetapkan. Namun, hadkan waktu penggunaan bahan digital secara konsisten dan pantau penggunaan secara teliti. Secara amnya, pastikan penggunaan digital tersebut tidak ‘mengorbankan’ waktu tidur (8-12 jam, bergantung kepada umur), dan aktiviti riadah dan fizikal (1 jam sehari).

Apabila anak semakin meningkat remaja, mereka sudah pasti ingin berinteraksi dengan dunia luar, dan ingin bereksperimen dengan penggunaan dunia digital. Ini menyebabkan mereka semakin terdedah dengan bahaya dunia digital. Maka, adalah penting bagi ibu bapa/penjaga mendidik anak-anak agar menjadi seorang pengguna digital yang bertanggungjawab. Salah satu cara adalah dengan membimbing anak menjadi ‘digital citizen’ yang baik, menerusi penekanan elemen-elemen ‘digital citizenship’ ke dalam diri anak-anak (http://bit.ly/2wmWYf1) , dan ibu bapa/penjaga sendiri.

Konklusinya, ibu bapa tidak perlu terasa terlalu tertekan dalam memberi pendedahan dunia digital kepada anak-anak di awal peringkat umur. Namun, pendedahan yang terkawal masih perlu diberi sebagai langkah pertama dalam melahirkan insan yang menggunakan teknologi dan dunia digital secara berhemah. Ibu bapa/penjaga perlu terus memberi keseimbangan kepada anak-anak antara dunia digital dan realiti, agar tidak mengabaikan tingkah laku yang memberi faedah kepada kesihatan, seperti tidur mencukupi, aktiviti fizikal dan interaksi sihat dengan individu di sekeliling mereka.

Dr Muhd Zulfadli Hafiz Ismail

MBBS (London), MPH (Malaya).

 

Bibliografi:

  1. American Academy of Pediatrics. Media and Young Minds. [Accessed on 30/08/2017]. Available from http://pediatrics.aappublications.org/content/pediatrics/early/2016/10/19/peds.2016-2591.full.pdf. 2016.
  2. American Academy of Pediatrics. Children and Adolescents and Digital Media. [Accessed on 30/08/2017]. Available from http://pediatrics.aappublications.org/content/pediatrics/early/2016/10/19/peds.2016-2593.full.pdf. 2016.
  3. American Academy of Pediatrics. Media Use in School-Aged Children and Adolescents. [Accessed on 30/08/2017]. Available from http://pediatrics.aappublications.org/content/pediatrics/early/2016/10/19/peds.2016-2592.full.pdf. 2016.

Related article

  • 02 09-2017
    SAYA AKAN MEMILIH TINGKAHLAKU YANG SELAMAT UNTUK MENGELAKKAN DIRI DARIPADA JANGKITAN HIV/AIDS

    Amalan seks tidak selamat boleh mengundang penyakit berjangkit seperti HIV/AIDS. Kajian HIV Kebangsaan mendapati kadar notifikasi HIV dalam kalangan remaja Malaysia berumur 13-19 tahun telah bertambah daripada 1.97 per 100,000 populasi remaja (2013) kepada 2.25 per 100,000 populasi remaja...

    Read more...
  • 15 08-2017
    COPING MECHANISMS for EXAM STRESS: TIPS for PARENTS – BY DR KHOO YI YI

      Recent reports on the tragic and untimely deaths of teens who decided to take their own lives due to stressors of exams struck a chord with me and thus prompted me to write this piece. It brought me...

    Read more...
  • 10 08-2017
    How can parents help kids cope with bully?

    Ryan is a 13 year old boy who struggles with his academic and physical disabilities. He has speech, language and motor skills development problems which led him to receiving special education services from preschool till primary school. This problem...

    Read more...

Leave comments

Your email address will not be published.