Remaja dan Kecelaruan mood / Kemurungan (Depression)

03 08-2017
Remaja dan Kecelaruan mood / Kemurungan (Depression)

Sebagai manusia biasa, ada masanya kita tidak dapat lari daripada merasa sedih atau tidak bermotivasi. Perasaan tersebut merupakan reaksi yang normal apabila kita berhadapan dengan cabaran-cabaran hidup. Selalunya, seseorang itu boleh menyelesaikan masalahnya dan maju ke hadapan.

Kecelaruan mood atau kemurungan (depression) ialah satu keadaan di mana seseorang mengalami perasaan atau emosi rendah yang berterusan selama dua minggu berturut-turut. Orang yang mengalaminya akan sedar keadaan mood mereka tetapi apa yang berlaku adalah di luar kawalan mereka. Masalah ini disebabkan oleh gangguan bahan kimia yang terdapat di dalam otak.

Seseorang yang mengalami kemurungan akan merasa lebih sedih daripada biasa. Kesedihan yang melampau boleh berlarutan selama berminggu-minggu, berbulan-bulan atau lebih lama. Kemurungan juga boleh mempengaruhi pemikiran. Ia mengganggu keupayaan untuk melihat atau menikmati perkara-perkara yang baik dalam kehidupan serta mengganggu perjalanan aktiviti harian.

Punca kemurungan

  • Genetik/ keturunan
  • Tekanan sosial seperti kehilangan insan atau sesuatu yang disayangi, penceraian ibu bapa dan kegagalan dalam peperiksaan
  • Tekanan di sekolah atau tekanan rakan sebaya
  • Ibu bapa yang tidak begitu prihatin dan mengambil berat hal anak-anak

Tanda-tanda kemurungan

  1. Masalah fizikal – sakit kepala, sakit perut, kurang atau bertambah selera makan, kurang atau terlebih tidur
  2. Perasaan negatif – sedih, tiada motivasi, tidak berdaya, tidak disayangi dan mudah marah
  3. Pemikiran negatif – percaya perkara tidak akan menjadi lebih baik, masalahnya terlalu besar untuk diselesaikan, tidak ada yang dapat memperbaiki keadaan dan tidak rasa dihargai
  4. Kurang tenaga dan motivasi
  5. Kurang tumpuan – sukar untuk melakukan kerja sekolah, beri perhatian dalam kelas, ingat apa yang telah dipelajari dan fokus
  6. Daya ingatan dan prestasi akademik menurun
  7. Hilang keinginan untuk bersosial – melarikan diri daripada keluarga dan kawan-kawan serta tidak melakukan aktiviti yang digemari sebelum ini

Nota: Salah satu atau semua tanda-tanda di atas boleh menjadi sebahagian daripada kecelaruan mood atau kemurungan sekiranya ia berlarutan sekurang-kurangnya 2 minggu.

Seseorang yang mengalami kemurungan mungkin tidak sedar yang mereka murung. Ini adalah disebabkan kritikan yang dilemparkan pada diri sendiri di mana mereka merasa diri mereka sebagai seorang yang gagal, pelajar yang tidak baik, cepat mengalah dan sebagainya. Oleh kerana kemurungan boleh memberi kesan kepada kelakuan seseorang, orang sekeliling mungkin boleh salah anggap ia sebagai kelakuan yang tidak baik. Mereka yang murung boleh ada masalah lain juga. Sebagai contoh, orang yang melukai diri sendiri (self-cutting) mungkin tidak sedar yang mereka juga mengalami kemurungan.

Sejak kebelakangan ini berlaku peningkatan terhadap kes bunuh diri atau cubaan membunuh diri di kalangan remaja yang mengalami kemurungan kronik. Disebabkan timbul kemungkinan pesakit akan membunuh diri, remaja murung perlu sentiasa dipantau untuk sebarang tanda-tanda berikut seperti;

  • Bercakap atau bergurau mengenai hendak membunuh diri seperti ”Lagi bagus kalau aku mati”.
  • Bercakap secara positif mengenai kematian atau berangan-angan mengenai mati. Contoh: ”Jika aku mati, orang akan lebih sayang padaku.”
  • Menulis cerita atau puisi mengenai kematian atau membunuh diri.
  • Terbabit dalam tingkah laku berisiko atau sering cedera dalam kemalangan.
  • Memberi barangan peribadi paling berharga kepada orang lain.
  • Mengucapkan selamat tinggal kepada rakan-rakan atau keluarga seolah-olah akan berpisah selamanya.
  • Mencari senjata, pil atau sebarang cara untuk membunuh diri.

Kemurungan yang berterusan boleh memberi kesan kepada kesihatan. Sistem pertahanan diri boleh menurun dan sekaligus terdedah kepada jangkitan penyakit. Selain itu, remaja yang mengalami kemurungan lebih berisiko untuk terbabit dalam aktiviti-aktiviti tidak sihat seperti merokok, minum alkohol dan penyalahgunaan dadah.

Bagaimana mengatasi kemurungan?

Sekiranya anda merasa anda mempunyai tanda-tanda kemurungan, berbincang dengan ibu bapa atau orang dewasa bagi mendapat bantuan yang betul:

  1. Berjumpa doktor – saringan kesihatan termasuk mental dan rujukan kepada doktor pakar
  2. Bercakap dengan kaunselor
  3. Pakar, contohnya psychologist dan psychiatrist boleh memberi rawatan yang bersesuaian contohnya ubat dan psikoterapi. Berdasarkan luahan perasaan pesakit, pakar psikoterapi dapat menemui konflik yang dialami.
  4. Sokongan daripada kaunselor sekolah atau talian bantuan sekiranya ibu bapa tidak dapat membantu.
  5. Dapatkan sokongan kawan-kawan atau mereka yang prihatin. Mereka boleh:
    • Mendengar dan bercakap
    • Mengingatkan yang keadaan akan bertambah baik
    • Bantu mengingatkan perkara-perkara yang baik dalam kehidupan anda
    • Menemani anda dalam melakukan aktiviti-aktiviti riadah
    • Melakukan aktiviti-aktiviti yang menghiburkan

Remaja yang mengalami kemurungan boleh dibantu dan dibimbing bagi membentuk personaliti yang sesuai dan bersikap lebih positif dengan kehidupan. Kemurungan boleh bertambah baik sekiranya diberi perhatian dan rawatan yang betul. Sekiranya tidak dirawat, kemurungan akan bertambah teruk. Oleh sebab itu, jangan tunggu untuk mendapatkan rawatan.Anda juga boleh membantu diri anda sendiri:

  • Amalkan pemakanan yang sihat
  • Tidur dengan cukup
  • Melakukan aktiviti fizikal – yoga, menari, meditasi
  • Luangkan masa untuk berehat
  • Ambil masa untuk melihat perkara yang baik tentang kehidupan walaupun ia bukanlah sesuatu yang besar
  • Ekspres diri anda melalui seni, muzik dan menulis jurnalFokus pada perkara-perkara yang positif dan bergaul dengan orang yang berfikiran positif.

Kemurungan boleh dirawat jika anda mengambil langkah-langkah yang betul – Berjumpa doktor, bercakap dengan kaunselor dan tidak menunggu kemurungan hilang dengan sendiri.

Ditulis oleh: MyCAP75 Member, 03/08/17

Related article

  • 02 09-2017
    SAYA AKAN MEMILIH TINGKAHLAKU YANG SELAMAT UNTUK MENGELAKKAN DIRI DARIPADA JANGKITAN HIV/AIDS

    Amalan seks tidak selamat boleh mengundang penyakit berjangkit seperti HIV/AIDS. Kajian HIV Kebangsaan mendapati kadar notifikasi HIV dalam kalangan remaja Malaysia berumur 13-19 tahun telah bertambah daripada 1.97 per 100,000 populasi remaja (2013) kepada 2.25 per 100,000 populasi remaja...

    Read more...
  • 30 08-2017
    “Berapa lama saya boleh bagi anak saya guna internet dalam sehari?”- Panduan kepada Ibu Bapa Dalam Mengawal Penggunaan Internet dan Dunia Digital

    Sebagai ibu bapa, kita pasti ingin memberi yang terbaik dalam membesarkan anak-anak kita. Dalam dunia digital ini, timbul pelbagai persoalan berkenaan cara terbaik memberi didikan kepada anak-anak terhadap penggunaan internet dan media elektronik. Salah satu soalan yang popular di...

    Read more...
  • 15 08-2017
    COPING MECHANISMS for EXAM STRESS: TIPS for PARENTS – BY DR KHOO YI YI

      Recent reports on the tragic and untimely deaths of teens who decided to take their own lives due to stressors of exams struck a chord with me and thus prompted me to write this piece. It brought me...

    Read more...

Leave comments

Your email address will not be published.