Kesihatan Seksual dan Reproduktif Remaja

Untuk Remaja

PENDAHULUAN

Kesihatan reproduktif bermaksud keadaan sihat fizikal, mental serta sosial dan bukan hanya bebas daripada penyakit yang berkaitan dengan sistem reproduktif semata-mata. Ia juga merangkumi keupayaan untuk menjalin kehidupan seksual yang memuaskan dan selamat serta bebas membuat pilihan yang bertanggungjawab.

Kesihatan seksual adalah komponen penting dalam kesihatan reproduktif. Ia merupakan keupayaan lelaki dan wanita melakukan aktiviti seks dengan bertanggungjawab dan selamat.

Definisi remaja adalah seseorang yang berada pada peringkat umur di antara 10-19 tahun. Ia merupakan masa peralihan dari alam kanak-kanak ke alam dewasa.

Objektif utama modul Kesihatan Seksual dan Reproduktif Remaja (KSRR) ini adalah untuk memperkasakan remaja dengan pengetahuan yang sesuai, sikap dan kemahiran untuk membuat pilihan bagi kesihatan seksual dan reproduktif mereka.

Modul ini disasarkan kepada remaja berumur 10-19 tahun dan memfokuskan kepada pembinaan kemahiran untuk memahami organ-organ reproduktif, peringkat akil baligh, mencegah dan mengurangkan risiko kehamilan serta penyakit jangkitan seksual dan HIV/AIDS.

KENALI SISTEM REPRODUKTIF ANDA

Sistem Reproduktif Lelaki

  • Zakar : Menyalur keluar air kencing dan air mani
  • Testis : Kalenjar yang menghasilkan sperma (benih lelaki) dan hormon testosteron bagi mengekalkan sifat kelakian.
  • Skrotum : Mengawal suhu sekitaran testis, agar lebih sejuk dari suhu badan. Skrotum akan mengembang supaya testis akan berada jauh dari badan apabila suhu badan meningkat. Skrotum akan mengecut dan testis akan berada berhampiran tubuh apabila suhu/cuaca sejuk
  • Kalenjar Prostat & Vesikal Seminal : Kalenjar yang menghasilkan cecair lekit yang membantu sperma disalirkan. Cecair ini juga dipanggil air mani.
  • Duktus Sperma : Saluran yang membawa sperma dari testis ke vesikal seminal.

sistem reproduktif lelaki

 

Sistem reproduktif perempuan

Sistem reproduktif luar perempuan
  • Labia Major: 2 lipatan tebal yang melindungi labia minor
  • Labia Minor : 2 lipatan nipis yang melindungi bahagian kelentit, bukaan uretra dan bukaan faraj.
  • Bukaan Faraj : Terletak antara salur kencing dan dubur. Biasanya diselaputi oleh selaput dara.
  • Selaput Dara : Selaput nipis yang meliputi sebahagian besar bukaan faraj

 

sistem reproduktif perempuan

 

Sistem reproduktif dalam perempuan
  • Faraj : Saluran untuk melahirkan bayi, laluan keluar darah haid dan hubungan seksual.
  • Serviks : Pintu kepada rahim yang juga dipanggil pangkal rahim.
  • Salur Falopia : Laluan ovum (telur) dari ovari ke rahim dan merupakan tempat persenyawaan berlaku.
  • Uterus/Rahim : Bahagian dalam uterus dilapisi oleh lapisan yang dipanggil endometrium. Sekiranya telur tidak disenyawakan lapisan endometrium ini akan luruh sebagai darah haid. Sekiranya telur disenyawakan, ia akan diimplan (ditanam) di endometrium dan membentuk janin.
  • Ovari : Menghasilkan ovum atau telur dan hormon seks progesteron dan estrogen. Setiap bulan, satu ovum yang matang akan dikeluarkan oleh ovari.

AKIL BALIGH

Apa itu akil baligh?

Akil baligh merupakan satu peringkat dalam hidup anda dimana tubuh badan anda berubah dari seorang kanak-kanak ke seorang remaja. Pada peringkat ini, organ reproduktif anda menjadi matang, berlakunya perubahan fizikal yang dipengaruhi oleh hormon seks. Bagi sesetengah remaja, akil baligh bermula seawal umur 9 tahun, manakala yang lainnya mungkin bermula lewat iaitu pada umur 15 atau 16 tahun.

Jika anda bimbang anda mungkin tidak akil baligh lagi, jangan bimbang – semua orang berbeza.

Antara tanda-tanda perubahan fizikal yang anda akan alami:

Remaja lelaki dan perempuan
  1. Pertumbuhan secara mendadak
  2. Perasaan seksual bertambah dan dirasai
  3. Mula menunjuk minat terhadap individu yang berbeza jantina
  4. Kulit menjadi lebih berminyak – mungkin berjerawat
  5. Kelenjar peluh mula berfungsi – lebih banyak berpeluh
  6. Bau badan berubah
  7. Ketinggian bertambah, sehingga hampir mencapai ketinggian dewasa
  8. Bulu di bahagian ketiak dan ari-ari mula tumbuh
  9. Mood berubah-ubah
Remaja lelaki
  1. Bahu dan dada menjadi bidang
  2. Zakar dan testis semakin membesar
  3. Testis mula mengeluarkan air mani dan sperma
  4. Suara menjadi lebih dalam dan garau
  5. Side burn, misai dan janggut mula tumbuh
  6. Bulu di badan menjadi lebih lebat
  7. Menjadi lebih berotot dan kekuatan bertambah
Remaja perempuan
  1. Mula didatangi haid
  2. Payu dara mula membesar
  3. Punggung semakin melebar menunjukkan ciri-ciri kewanitaan
  4. Rahim dan faraj membesar
  5. Ovum/ telur yang dihasilkan oleh ovari mula matang
  6. Suara mungkin berubah dari suara keanak-anakan kepada suara lebih matang

 

Peringkat akil baligh

Remaja lelaki
  • 10-13 tahun
      • Badan bertambah gagah
      • Otot membesar
      • Bahu melebar
      • Dada menjadi bidang
      • Skrotum bertambah kasar dan berwarna gelap
      • Saiz zakar membesar
  • 14-17 tahun
      • Tubuh bertambah tinggi
      • Bulu ari-ari tumbuh dan bertambah lebat
      • Skrotum semakin membesar
      • Saiz zakar semakin membesar
      • Jerawat mula tumbuh
      • Mengalami mimpi basah
  • 18-19 tahun
    • Ketinggian bertambah
    • Bulu tumbuh di ketiak dan mungkin di bahagian dada
    • Misai dan janggut mula tumbuh
    • Warna kulit skrotum bertambah gelap
    • Saiz zakar semakin membesar
Remaja perempuan
  • 9-10 tahun
      • Puting payudara mula ketara
      • Tulang punggung mula melebar.
  • 10-11 tahun
      • Saiz puting payudara mula membesar
      • Bulu ari-ari mula tumbuh
  • 11-13 tahun
      • Bulatan areolar payudara semakin membesar
      • Organ reproduktif bertambah matang dan menjadi nyata
  • 13-15 tahun
      • Bulu ari-ari menjadi lebat
      • Bulu mula tumbuh dibawah ketiak
      • Kedatangan haid
  • 16-18 tahun
    • Mencapai ketinggian maksima
    • Pada usia ini kesemua perubahan ciri seksual sekunder menghampiri saiz wanita dewasa

HAID/DATANG BULAN

Apa itu haid?

Haid adalah pendarahan semula jadi yang berlaku setiap 21-40 hari. Pendarahan berlaku melalui faraj. Haid merupakan tanda yang organ reproduktif anda telah mula berfungsi dan bersedia untuk hamil.

Bagaimana haid terjadi?

Hormon ‘Folicle Stimulating Hormone’ (FSH) merangsang ovari untuk menghasilkan ovum yang matang dan bersedia untuk dipersenyawakan. Pada masa yang sama ovari akan menghasilkan hormon estrogen yang merangsang pembentukan lapisan tebal endometrium didalam rahim. Sebaik sahaja ovum matang dan dikeluarkan oleh ovari, penghasilan estrogen terhenti, proses ini dikenali sebagai ovulasi. Sekiranya ovum tidak di persenyawakan, lapisan endometrium akan luruh sebagai haid.

Pada umur berapa seseorang perempuan itu akan didatangi haid?

Kebiasaan remaja perempuan didatangi haid pada umur diantara 10-15 tahun tetapi ia boleh berlaku seawal 8 atau selewat 16 tahun.

Berapakah tempoh kitaran haid?

Kebanyakan remaja perempuan didatangi haid setiap 28 hingga 30 hari. Kitaran haid juga boleh berlaku dalam 19-35 hari.


*TIPS: Tandakan tarikh haid anda bermula dan berakhir. Dengan cara ini, anda boleh menjangka bila bulan kitaran haid yang akan datang dan seterusnya. Ini akan membantu anda membuat persediaan seperti membawa pad ke sekolah.
*Nasihat kami: pastikan anda tidak kehabisan pad untuk haid akan datang.


Adakah perempuan akan datang haid selama-lamanya?

Tidak, kebanyakan perempuan berhenti datang haid apabila mereka mencapai umur kira-kira 50 tahun. Ini juga dikenali sebagai menopaus.

Mengapa perempuan berhenti didatangi haid sebelum mereka tua?
  1. Mengandung
  2. Kegemukan
  3. Terlalu kurus
  4. Mengambil pil pencegahan kehamilan
  5. Gangguan emosi seperti tertekan/ stress

Jika anda belum mengadakan hubungan seks dan haid berhenti untuk beberapa bulan, ia adalah penting untuk pergi dan berjumpa dengan doktor anda, yang mungkin ingin melakukan ujian.

 

Masalah semasa haid

Kitaran haid tidak teratur
  1. Ada sesetengah gadis akan mengalami kitaran haid yang tidak normal seperti datang haid sebulan 2 kali dan tidak datang haid sebulan.
  2. Kebiasaannya kitaran tidak teratur pada peringkat awal dan beransur-ansur menjadi normal. Gangguan emosi yang teruk juga boleh menjejaskan kitaran haid. Kitaran haid akan menjadi normal apabila masalah ini dapat diselesaikan.
Senggugut
  1. Merupakan sakit semasa datang haid
  2. Senggugut adalah sakit yang disebabkan oleh pengecutan dinding uterus yang kuat pada hari pertama.
  3. Tanda-tanda anda mengalami sengugut ialah
    • Berasa lenguh, contohnya dibahagian belakang dan peha
    • Sakit dibahagian perut
    • Cirit birit dan muntah
  4. Sekiranya anda mengalami kesakitan ini sepanjang dan selepas tempoh haid, sila dapatkan nasihat doktor.
Sindrom sebelum haid (Premenstrual Syndrome)

9 daripada 10 orang gadis akan mengalami sindrom sebelum haid; gangguan emosi & gejala fizikal seperti:

    • Perasaan tidak stabil (sensitif, cepat marah, kemurungan dan keletihan, mengidam makanan manis, selera makan meningkat atau berkurangan)
    • Senak perut
    • Perut kembung
    • Payudara berasa sakit
    • Sakit kepala dan sakit belakang
    • Loya/mual
    • Cirit birit atau sembelit
    • Sembab

 

Penjagaan menstrual

pad&pantyliner

 

Tuala wanita dan panty liner digunakan untuk menyerap darah haid. Pemilihan produk bergantung kepada keselesaan anda. Tapi anda perlu ingat tuala wanita dan panty liner perlu kerap ditukar.

Tuala wanita
  1. Terdapat pelbagai saiz, stail, panjang dan ketebalan tuala wanita.
  2. Pemilihan yang tepat boleh mengelakkan berlaku pembocoran. Pemilihan tuala wanita perlu berdasarkan saiz badan, keselesaan dan darah haid.
  3. Anda dinasihatkan untuk menukar tuala wanita setiap 4-6 jam, apabila ia penuh, dan berasa tidak selesa.
Panty Liner
    1. Lebih nipis dan pendek dari tuala wanita. Guna panty liner bila darah haid anda berkurangan. Ini dapat mengurangkan pembaziran.
Tampon
      1. Struktur berupa gulungan nipis kapas lembut. Penggunaanya tidak memerlukan seluar dalam kerana ia dimasukkan terus kedalam faraj bagi menyerap darah haid. Pengguna tidak perlu khuatir kerana ia tidak memasuki ke dalam tubuh kerana lubang pangkal rahim sangat kecil. Ia tidak perlu ditukar terlalu kerap kerana tidak berbau busuk.

Etika pembuangan tuala wanita

Tuala wanita dan tampon perlu dibersihkan dari kesan darah sebelum dibungkus dan dibuang ke tong sanitasi ataupun tong sampah biasa yang bertutup (bagi mengelakkan ia bertaburan ataupun dikais binatang). Pembuangan tuala wanita ke dalam lubang tandas adalah tabiat yang tidak baik dan boleh menyebabkan lubang tandas tersumbat.

MIMPI BASAH

Apakah itu mimpi basah?

Mimpi basah di kalangan lelaki adalah respon semulajadi tubuh untuk mengeluarkan sperma yang semakin bertambah di dalam testis. Ia sering berlaku ketika tidur. Mimpi pertama bagi lelaki sama seperti berlakunya haid pertama di kalangan perempuan. Ini menandakan bermulanya fungsi pembiakan.

Mimpi basah adalah petanda akil baligh bagi lelaki dan bagi orang Islam, mereka perlu mandi wajib.

 

Air mani yang mengandungi sperma juga keluar melalui beberapa cara lain iaitu:

  1. Persetubuhan – aksi seksual dengan memasukkan zakar ke dalam faraj. Dalam masyarakat kita, persetubuhan hanya dibenarkan jika sudah berkahwin.
  2. Melancap (onani) – perbuatan merangsang alat kelamin atau membangkitkan keghairahan seksual sehingga menikmati orgasma. Tenaga seksual sepatutnya ditekan dengan membuat sesuatu yang kreatif, bersukan dan pelbagai aktiviti yang lain.

Remaja lelaki beragama Islam yang mengalami mimpi basah dan melakukan onani wajib mandi hadas untuk melakukan amal ibadah yang diwajibkan ke atasnya.

MELANCAP/ONANI

Apa itu melancap/onani?

Melancap / onani ialah suatu perbuatan merangsang alat kelamin atau menaikkan keghairahan seksual sehingga mencapai orgasma / syahwat diikuti dengan pengeluaran air mani dengan tujuan mencapai kepuasan seks secara bersendirian, tanpa pasangan. Ada agama yang melarang perbuatan melancap ini.

Melancap boleh memudaratkan. Dari aspek kesihatan, orang yang sering melancap boleh menyebabkan kehilangan stamina dan lemah badan. Dari segi mental, mereka boleh menjadi pelupa dan suka menyendiri.

 

Kaedah Pencegahan

  1. Elakkan bersendirian
  2. Tinggalkan unsur-unsur yang membawa ke arah itu – melihat wanita berpakaian seksi, melayari laman web lucah, menonton vcd lucah atau melihat sebarang perlakuan yang boleh menaikkan hawa nafsu.
  3. Isi masa terluang dengan melakukan sesuatu yang anda minat contohnya bersukan
  4. Bergaul dengan kawan-kawan yang berakhlak baik.

KESIHATAN SEKSUAL

Apa itu seksualiti?

Seksualiti merupakan satu ekspresi identiti gender (lelaki dan perempuan)/ perasaan peribadi tentang tindak balas dan emosi terhadap seks.

 

Apa itu seks?

Ramai yang berpendapat seks hanya merujuk kepada persetubuhan di mana penis dimasukkan ke dalam vagina. Tahukah anda? Seks juga bermaksud melakukan aktiviti seks yang boleh merangsang perasaan seksual seperti;

  • Sentuhan – membelai, berpeluk
  • Rangsangan pada organ kemaluan – menyentuh kemaluan
  • Rangsangan oral – ciuman
  • Pergerakan badan – tarian secara seksi
  • Pertuturan – kata-kata yang menggoda secara bersemuka atau melalui telefon
  • Persetubuhan – bermaksud memasukkan penis ke dalam: vagina, dubur atau mulut

Seks juga merupakan perasaan peribadi – tarikan seksual yang biasanya dikongsi di antara pasangan yang telah berkahwin. Ia merupakan desakan reproduktif yang semula jadi (untuk memulakan satu keluarga). Tarikan asas terhadap pasangan yang berlainan yang merupakan sebahagian hubungan intim.

Penjagaan kesihatan seksual itu penting kerana:
  1. Ianya dapat menghalang situasi yang tidak sihat seperti kehamilan yang tidak diingini, jangkitan seksual (STIs), tingkah laku seksual di luar tabii yang tidak dapat diterima oleh komuniti, penderaan seksual dan lain-lain.
  2. Ia dapat meningkatkan kualiti kehidupan anda dengan peningkatan: harga diri, komunikasi, perhubungan kekeluargaan, kawan-kawan dan mereka yang dikasihi.

 

Hak anda – konsep 3R dan seksualiti

Table1

Tahukah anda? Tingkahlaku seksual yang berisiko boleh menjurus kepada kesan yang tidak diingini:

  • Jangkitan seksual
  • Jangkitan salur kencing
  • Kecederaan berhubung kait dengan seks, seperti luka pada selaput dara dan selaput kulup di penis
  • Ketagihan kepada seks/ pornografi
  • Rasa bersalah/benci pada diri sendiri
  • Malu
  • Tingkah laku mencederakan diri sendiri kerana perasaan bersalah
  • Gangguan seksual
  • Penderaan seksual
  • Mencabul
  • Rogol
  • Perasaan prejudis dan stigma sosial, seperti digelar orang buangan

 

Tingkatkan pengetahuan anda tentang seksualiti

  1. Nikmati perhubungan yang sihat tanpa terlibat dengan aktiviti seks sebelum kahwin.
  2. Ketahui akibat daripada perhubungan seksual.
  3. Membuat keputusan sendiri bertepatan dengan ajaran agama dan budaya masyarakat sekeliling.
  4. Fahami dan terima identiti jantina anda.
  5. Fahami orientasi seksual anda.
  6. Terima bahawa setiap individu mempunyai nilai-nilai yang berbeza.
  7. Dapatkan bantuan daripada sumber yang boleh dipercayai.

KEINGINAN SEKSUAL

Apa Itu Keinginan Seksual?

  • Keinginan seksual merujuk kepada minat seseorang dalam seks
  • Ia mempengaruhi pemikiran, kelakuan dan fantasi

 

Adakah keinginan seksual itu normal?

Perasaan ini adalah normal dan ia adalah sebahagian dari proses pembesaran. Setiap individu akan mengalami perasaan ini, ia disebabkan oleh perubahan hormon.
Keinginan seksual menjadi tidak normal atau tidak sihat apabila seseorang itu tidak dapat mengawal keinginan seksual dan akhirnya mendorong mereka ke arah keganasan seksual seperti; rogol, tarikan seksual terhadap kaum sejenis, kanak-kanak, haiwan dan lain-lain.

 

Apakah faktor yang mempengaruhi keinginan seksual seseorang itu?

Dorongan dalaman
  • Mempunyai perasaan dan minat seksual.
  • Merasai tarikan seksual dan emosi terhadap kaum berlainan jenis,terdorong untuk menjalinkan hubungan fizikal.
Pendedahan kepada bahan-bahan lucah/ ponografi
  • Pendedahan yang berterusan terhadap maklumat yang akan menaikkan nafsu syahwat dalam bentuk media (seperti; filem, televisyen, majalah, internet dan lain-lain).
  • Kurang penyeliaan dan bimbingan dari orang dewasa yang bertanggungjawab.
Keadaan persekitaran
  • Bersendirian dengan pasangan anda di tempat yang sunyi seperti taman, dalam kereta, bilik, rumah dan tempat-tempat yang lain boleh meningkatkan nafsu syahwat anda.

 

Bagaimana anda boleh mengawal keinginan seksual?

  • Berwaspada terhadap rangsangan dalaman anda serta persekitaran yang boleh meningkatkan nafsu syahwat anda.
  • Percaya dan berpegang pada nilai yang ada dalam diri anda.
  • Elakkan diri daripada situasi yang boleh membawa kepada peningkatan nafsu syahwat.
  • Hormati dan ketahui batasan anda
  • Belajar cara berkomunikasi dan bertolak ansur. Berani berkata TIDAK
  • Bertanggungjawab dan mengetahui akibat dari tindakan anda
  • Melibatkan diri dalam program dan aktiviti yang membawa faedah serta dapat membina kemahiran.

KEHAMILAN

Bagaimanakah anda tahu anda hamil/ mengandung?

Tanda paling jelas anda hamil adalah anda lambat datang bulan. Selain daripada itu, lain-lain tanda anda mengandung adalah seperti berikut:

  • Anda cepat penat dan tidak mempunyai banyak tenaga
  • Anda mungkin muntah
  • Anda mungkin mengidam makanan
  • Anda harus buang air kecil lebih daripada biasanya
  • Anda mengalami sakit dan bengkak pada payudara

Jika anda telah mengadakan hubungn seks tanpa menggunakan kontraseptif maka kemungkinan anda hamil.

 

Apa yang perlu anda lakukan sekiranya anda berfikir bahawa anda sedang mengandung?

Buat pemeriksaan untuk pastikan sama ada anda mengandung ataupun tidak. Ini membolehkan anda merancang apa yang harus dilakukan selanjutnya. Dimana anda boleh mendapatkan ujian kehamilan?

Membuat ujian pemeriksaan mengandung di rumah

 

 

Ujian kehamilan banyak dijual di farmasi. Walaubagaimanapun, ujian ini tidak 100% tepat dan adalah penting anda berjumpa doktor jika anda masih tidak yakin.

Membuat pemeriksaan kehamilan di klinik berhampiran

Pemeriksaan kehamilan di klinik kerajaan adalah percuma. Doktor akan membuat pemeriksaan dan memberitahu anda sekiranya anda mengandung. Sekiranya anda mengandung, mereka akan memberi nasihat serta bantuan kepada anda.

 

Apakah pilihan anda sekiranya anda mengandung?

Jika anda hamil dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan seterusnya, dapatkan bantuan daripada;

  • Ibubapa sekiranya anda boleh berbincang dengan mereka
  • Orang dewasa dan kawan yang anda percaya dan dapat membantu
  • Pegawai di Jabatan Kebajikan Masyarakat yang berdekatan (www.jkm.gov.my)
  • Hotline:
    1. Talian Nur 15999
    2. Befrienders 03-7956 8144/8145 (24 hours)
    3. Rumah Perlindungan;
      1. Pusat Bimbingan Remaja Puteri Raudhatus Sakinah; Tel: +60 3-6178 1922 Email: rsakinah@gmail.com
      2. Sekolah Harapan, Jasin, Melaka 06-288 1534
  • Hubungi/jumpa Doktor atau Pegawai Perubatan di klinik kesihatan kerajaan

 

Kesan & akibat kehamilan remaja

Kesan perubatan
  • Proses bersalin yang sukar dan lama disebabkan tulang pinggul yang kecil
  • Tekanan darah tinggi semasa hamil yang boleh menyebabkan komplikasi seperti pendarahan, sawan dan boleh membawa maut
  • Bayi yang mempunyai berat lahir yang rendah
  • Kadar kematian ibu dan bayi tinggi
Kesan psikologi
  • Hilang keyakinan diri
  • Tekanan emosi
  • Keresahan dan kebimbangan
  • Kemurungan
  • Bunuh diri
Kesan sosial
  • Pandangan masyarakat membuat anda rasa terpinggir
  • Masalah perhubungan dengan keluarga dan rakan sebaya – tidak mendapat sokongan
  • Pendidikan terjejas – tidak dapat meneruskan persekolahan
  • Sukar mendapat pekerjaan
  • Berisiko tinggi hidup dalam kemiskinan
  • Mempunyai rumah tangga yang tidak stabil
  • Pengguguran dan pembuangan bayi

PORNOGRAFI

Apa itu pornografi?

Pornografi bermaksud bahan bertulis atau visual yang merangsang keinginan seksual, dan bertujuan untuk memberahikan pemerhati atau pembaca. Ia juga dikenali sebagai “porn”, “smut” dan bahan-bahan lucah.

 

Bolehkah seseorang itu ketagih terhadap pornografi?

YA. Keadaan ini melibatkan penggunaan melampau atau penyalahgunaan bahan pornografi.

 

Apakah kesan-kesan ketagihan pornografi?

  • Ia menggalakkan seks luar nikah
  • Ia menyumbang ke arah penganiayaan seksual kanak-kanak dan keganasan seks
  • Pengaruh negatif terhadap perkembangan seksual
  • Sikap dan nilai seksual yang negatif. Contoh: kelakuan seks luar tabii, orientasi seks yang tidak normal dan tidak menghormati kaum wanita seperti hanya menganggap mereka sebagai objek seks
  • Masalah emosi dan perhubungan. Contoh: rasa bersalah, malu, dan ketagihan
  • Masalah undang undang. Contoh: memiliki, jual beli, menonton bahan bahan pornografi adalah salah dari segi undang undang

 

Bagaimana untuk mengelakkannya?

  • Elakkan mencari, membaca dan melihat bahan-bahan lucah.
  • Libatkan diri dalam aktiviti yang berfaedah seperti kegiatan sukan, senaman, aktiviti budaya atau kerja-kerja sukarela seperti befrienders (www.befrienders.org.my).
  • Patuh kepada ajaran agama dan budaya kerana ia juga melarang semua jenis pornografi.
  • Elakkan tekanan rakan sebaya.

 

Apakah implikasi undang-undang?

Penjualan bahan-bahan lucah kepada remaja terkandung dalam Seksyen 239 dalam Kod Penal menyatakan sesiapa yang menjual, menyewakan, menyebarkan, menunjukkan atau mengedarkan bahan-bahan ini atau menawarkannya atau cuba untuk berbuat seperti di atas, kepada seseorang yang berumur di bawah 20 tahun boleh dikenakan hukuman penjara hingga 5 tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.

BERPACARAN/BERPASANGAN

Jatuh cinta dan berpasangan adalah tidak salah. Yang salah ialah mengadakan perhubungan seks semasa bercinta.


Cinta adalah naluri semulajadi yang timbul semasa proses perkembangan remaja. Cinta itu adalah nikmat dan perlu dicurahkan dengan cara yang betul agar ia akan menjadi pengalaman manis dan berharga.


Perhubungan bermula dengan minat dan mungkin bertukar menjadi nafsu berahi atau perasaan saling sayang menyayangi. Cinta mengikut nafsu melibatkan perasaan berahi, tarikan fizikal dan selalunya berakhir dengan kegagalan perhubungan. Sayang menyayangi pula melibatkan persahabatan, ikatan dan komitmen ke arah perhubungan yang kekal iaitu ikatan perkahwinan.

 

Apakah perhubungan sihat?

Perhubungan sihat adalah sesuatu yang positif. Di dalam perhubungan sihat, remaja lelaki dan perempuan:

  • Yakin dan selesa dengan diri mereka sendiri dan juga orang lain
  • Saling bergembira
  • Saling mempercayai dan jujur
  • Saling menghormati pendapat, perasaan dan kepercayaan orang lain
  • Tidak mengkritik atau mencaci sesama sendiri
  • Menerima seseorang itu seadanya
  • Dapat menyelesaikan perbezaan pendapat melalui perbincangan
  • Tidak mengongkong orang lain
  • Boleh menyatakan tidak kepada sesuatu (termasuk seks)
  • Saling berjumpa bila perlu
  • Saling sokong menyokong

 

Apakah perhubungan tidak sihat?

Perhubungan yang tidak sihat berlaku apabila wujud perasaan bengis, tidak hormat, mengongkong atau terdapat unsur penderaan dalam perhubungan seperti:

  • Tidak membenarkan anda berinteraksi dengan orang lain
  • Tidak membenarkan anda meluangkan masa bersama keluarga
  • Sentiasa ingin memeriksa dan mengambil tahu aktiviti anda
  • Mengaibkan atau mengkritik anda
  • Memaksa anda mengikut kehendak mereka
  • Membuatkan anda berasa takut untuk tidak bersetuju atau menyatakan tidak
  • Cuba mencederakan anda atau diri sendiri jika anda ingin memutuskan perhubungan
  • Boleh bertindak kasar dan ganas terhadap anda
  • Memeras ugut / mengancam anda

 

Ciri-ciri perhubungan remaja yang sihat dari segi seksual

Remaja yang sihat perlu mengenali diri sendiri dan mempunyai hubungan yang baik dengan ibubapa/ahli keluarga, rakan dan komuniti.

Diri Anda Sendiri
  1. Anda adalah insan terpenting dalam hidup. Tiada siapa yang berhak menyentuh anda kecuali ianya kemahuan anda sendiri. Anda tidak boleh menyentuh insan lain kecuali insan tersebut membenarkan anda menyentuhnya.
  2. Adalah penting anda menghargai tubuh badan anda:
    • Memahami perubahan normal pada tubuh.
    • Mengamalkan kebersihan diri yang baik.
    • Mengelak tingkahlaku berisiko seperti; merokok, mengambil dadah dan alkohol, seks sebelum berkahwin.
    • Menerima tubuh anda seadanya. Elak daripada mempunyai harapan terlalu tinggi (contohnya badan seperti peragawati).
    • Ketahui nilai diri anda
    • Timbang tara perlakuan yang betul dan salah
    • Pilih untuk melakukan perbuatan baik
    • Waspada terhadap kesan atau akibat perlakuan anda
    • Fahami bahawa tindakan anda mungkin menyakiti diri anda atau orang lain
    • Waspada terhadap pengaruh yang tidak baik yang ada disekeliling anda. Contohnya : rakan sebaya, internet, wayang gambar dan majalah
    • Waspada terhadap tekanan rakan sebaya yang bertentangan dengan nilai hidup anda
    • Dapatkan bantuan daripada sumber yang boleh dipercayai
Ibubapa dan ahli keluarga anda
  1. Berkomunikasi dengan berkesan
  2. Tahu peranan dan tanggungjawab anda
  3. Bertindak dengan bijak
  4. Berbincang dengan ahli keluarga mengenai peraturan dan batas-batas pergaulan
  5. Menghormati nilai-nilai dan hak orang lain.
  6. Ibubapa anda mungkin mempunyai pandangan yang berbeza :
    • Terima dan hargai mereka seadanya
    • Dengar pandangan mereka
    • Sanggup berkongsi perasaan dengan mereka
    • Berbincang secara terbuka dan berkompromi
Rakan anda
  1. Berkomunikasi dengan berkesan
  2. Hargai pendapat dan nilai hidup rakan anda
  3. Mengetahui batasan diri semasa menjalin persahabatan.
  4. Elakkan diri dari tekanan rakan sebaya atau diperdaya
  5. Pelajari cara menangani tekanan rakan sebaya secara positif.
Komuniti Anda
  1. Selain daripada diri sendiri, keluarga dan rakan-rakan, anda juga sebahagian daripada lingkungan komuniti yang lebih besar, termasuk :
    • Guru
    • Pemimpin
    • Sahabat handai
    • Saudara-mara
    • Jiran
    • Ahli agama
  2. Sedari bahawa sebarang tindakan anda mempunyai kesan terhadap ahli komuniti.
  3. Berkomunikasi dengan berkesan.
  4. Hargai nilai hidup, budaya dan pendapat orang lain.
  5. Elakkan orang lain mengambil kesempatan ke atas anda.
  6. Pelajari cara bertegas demi kebaikan semua pihak.

SEKS SEBELUM BERKAHWIN

Remaja bersifat ingin tahu. Oleh kerana mereka terdedah kepada pengaruh luaran, mereka ingin mencuba aktiviti-aktiviti seperti merokok, mengambil alkohol, mengambil dadah dan aktiviti seksual.

Zaman remaja adalah tempoh di mana seorang individu dikelilingi oleh isu-isu seksual, iaitu keupayaan mengalami ataupun melahirkan perasaan seksual. Perubahan kematangan seks dan perubahan hormon adalah asas bagi kematangan seks seorang remaja.

Seks sebelum berkahwin boleh mengakibatkan pelbagai masalah kesihatan, sosial, emosi dan psikologi;

  • Boleh dijangkiti jangkitan seksual seperti HIV/AIDS
  • Kehamilan yang tidak diingini
  • Mengambil keputusan untuk menggugurkan kandungan jika hamil
  • Mengambil keputusan untuk meneruskan kehamilan dan membuang bayi
  • Berhadapan dengan trauma emosi
  • Dihukum oleh masyarakat – kotor, tidak suci, tidak bermoral, dipandang hina dan sebagainya. Anak yang dilahirkan dilabel sebagai anak haram.

 

Bagaimana hendak mengelakkan seks sebelum berkahwin?
  • Jauhi diri dari terpengaruh dan terikut-ikut dengan budaya yang tidak sesuai dengan budaya dan agama kita.
  • Hindari dari berjumpa berdua-duaan dengan orang yang dicintai.
  • Hindarkan diri dari membaca atau menyaksikan adegan-adegan yang boleh menaikkan syahwat.
  • Dengarlah nasihat yang baik dari ibu bapa dan guru.
  • Banyakkan beribadat.
Fikirkan!
  • Perasaan seksual adalah sensitif dan penuh kasih sayang. Jangan memaksa atau benarkan dipaksa.
  • Menyakiti dan memusnahkan diri sendiri bermakna menyakiti dan memusnahkan orang yang dikasihi terutama keluarga sendiri.
  • Anda berkuasa mengatakan “TIDAK”.
  • Ingat tanggungjawab moral dan agama anda sendiri dan hormati kehendak pasangan anda.
  • Bersedia menerima padah dari tindakan anda sendiri – imbangi antara kebebasan dan kawalan.

KONTRASEPTIF

Apa itu kontraseptif?

Kontraseptif ialah satu kaedah untuk mencegah kehamilan. Jika anda memutuskan untuk tidak hamil ataupun tidak mahu menjadi ibu bapa di usia muda, kontraseptif adalah kaedahnya. Kontraseptif juga dapat mencegah anda daripada penyakit kelamin. Namun yang demikian, cara yang paling berkesan untuk mencegah kehamilan dan penyakit kelamin adalah dengan menahan diri daripada melakukan persetubuhan. Kaedah ini memerlukan keazaman yang kuat. Ini kerana keazaman diri yang kuat dapat mengawal keinginan seksual anda.

 

Kondom

 

 

Kondom merupakan salah satu kaedah kontraseptif secara halangan dimana kehamilan dapat dicegah dengan menghalang sperma dari memasuki faraj. Kondom ialah sarung getah yang menutupi zakar dan mengumpul air mani. Kaedah ini juga dapat mencegah sebahagian daripada jangkitan kelamin. Keburukan kaedah ini ialah kondom boleh terkoyak atau tercabut ketika dikeluarkan.Untuk mendapatkan kesan yang efektif, kondom mesti disarungkan ketika zakar sedang menegang sebelum penetrasi berlaku.

 

Pil perancang

 

 

Pil perancang juga merupakan kaedah kontraseptif dimana kehamilan dapat dicegah dengan menghalang pengeluaran telur. Pil perancang biasanya mengandungi dua jenis hormon: estrogen dan progesteron. Pil ini diambil setiap hari selama 21 hari dan kemudian dihentikan selama 7 hari supaya haid berlaku. Kaedah ini dapat menghalang kehamilan dengan efektif. Tetapi kaedah ini tidak dapat mencegah seseorang itu daripada jangkitan kelamin.

 

Pil Perancang Kecemasan

Pil perancang kecemasan merupakan kaedah untuk mengelakkan kehamilan selepas persetubuhan berlaku tanpa perlindungan. Kecemasan termasuklah dirogol, kondom terkoyak semasa persetubuhan atau terlupa mengambil pil perancang. Pil perancang kecemasan tidak menyebabkan keguguran dan tidak mencegah seseorang itu daripada jangkitan seksual.

Bilakah seseorang gadis itu boleh menggunakan pil perancang kecemasan?

Ia boleh diambil selewat-lewatnya 120 jam kemudian (5 hari selepas persetubuhan tanpa perlindungan kaedah kontraseptif) tetapi lebih berkesan jika diambil dalam masa 72 jam (tiga hari) selepas persetubuhan.

JANGKITAN SEKSUAL

Apa itu jangkitan seksual?

Jangkitan seksual adalah penyakit yang berjangkit melalui perhubungan seksual, contohnya HIV/AIDS. Ada juga di antara penyakit ini yang boleh berlaku melalui sentuhan, iaitu dengan menyentuh kawasan yang dijangkiti.


*Orang yang menghidap jangkitan seksual berisiko 10 kali ganda untuk dijangkiti virus HIV.


Anda berisiko dapat jangkitan seksual sekiranya anda:

  • Melakukan hubungan seks tanpa perlindungan samada melalui vagina, dubur atau seks oral
  • Melakukan hubungan seks dengan berbilang pasangan
  • Menyentuh kawasan yang dijangkiti
  • Berkongsi jarum (AIDS dan Hepatitis B)
  • Mengamalkan seks rambang
  • Melanggan pekerja seks
  • Mempunyai pasangan seks yang mempunyai berbilang pasangan seks lain

 

Bagaimana anda melindungi diri anda daripada jangkitan seksual?

  • Elakkan diri daripada melakukan hubungan seks.

*Anda perlu ingat; jika anda berumur 16 tahun ke bawah, menjalin hubungan seks adalah salah di sisi undang-undang kecuali anda telah berkahwin. Sekiranya anda melakukan perhubungan seks dengan remaja perempuan yang berumur 16 tahun dan ke bawah, samada dengan persetujuan atau tidak, anda akan disabitkan kesalahan merogol.


  • Setia pada seorang pasangan. Elakkan daripada bertukar-tukar pasangan.
  • Gunakan kondom. Walau bagaimanapun, kondom bukanlah 100% berkesan tetapi ianya mampu mengurangkan risiko jangkitan.
  • Elakkan dari mengambil alkohol atau dadah di mana ia akan menjejaskan pertimbangan anda.
  • Elakkan daripada melakukan hubungan seks dengan orang yang telah dijangkiti/ orang yang ramai pasangan seksnya.

 

Tanda-tanda anda dijangkiti jangkitan seksual

  • Bendalir yang berbau busuk dari faraj/vagina atau saluran kencing
  • Sakit semasa kencing
  • Ulser di mulut atau alat kelamin
  • Gatal pada kawasan kemaluan
  • Sakit di bahagian bawah abdomen
  • Bengkak pada pangkal peha
  • Kulit yang berkutil atau berketuat

*Bukan semua jangkitan di bahagian alat kelamin disebabkan oleh jangkitan seksual (contohnya: jangkitan kulat candidiasis di vagina).


    • Chlamydia

    • Gonorrhoea

    • Genital Herpes

    • Siflis

    • Trichomonas vaginalis

    • Human Papilloma Viruses (HPVs)/ Ketuat genital

    • Human Immunodeficiency Virus (HIV)

 

Bolehkah anda pulih dari jangkitan seksual?

  • Pencegahan adalah lebih mudah daripada merawat.
  • Hanya jangkitan seksual yang disebabkan oleh bakteria boleh dipulihkan sepenuhnya.
  • Jangkitan seksual yang disebabkan oleh virus kadangkala berada di dalam badan untuk selamanya. Contohnya: AIDS, Herpes dan Human Papilloma Viruses.

 

Kesan dan akibat jangkitan

  • Kerosakan yang teruk terhadap jantung, otak, mata, sistem saraf, tulang dan sendi-sendi.
  • Penyakit Radangan Pelvik (PID)
  • Kemandulan
  • Hamil di luar rahim
  • Kanser servik
  • Jangkitan kepada bayi semasa proses kelahiran
  • Keguguran, kematian janin dan kecacatan pada bayi yang baru lahir
  • Kematian, contohnya AIDS

 

Tindakan yang perlu diambil jika dijangkiti

  • Dapatkan rawatan dengan segera di klinik kesihatan berdekatan. Rawatan adalah percuma dan segala maklumat adalah rahsia.
  • Bawa bersama pasangan anda semasa mendapatkan rawatan.
  • Amalkan hubungan seks yang selamat untuk mencegah jangkitan berulang.

 

Human Papilloma Virus (HPV)

 

 

Apa itu Human Papilloma Virus (HPV)?

HPV adalah sejenis virus yang menjangkiti lapisan dalam kulit dan selaput mukosa. Ia adalah penyebab utama kanser servik. Kanser ini terjadi di bahagian pangkal rahim (servik). Setiap wanita berisiko dijangkiti HPV selepas berkahwin.

Apa itu vaksin human papilloma virus (HPV)?

Vaksin HPV diberi untuk mencegah kanser servik akibat jangkitan HPV. Vaksin HPV juga sangat baik diberi pada awal remaja perempuan berbanding akhir remaja kerana mempunyai tindak balas imun yang lebih tinggi. Kementerian Kesihatan Malaysia hanya memberi vaksin secara percuma kepada semua gadis 13 tahun. Jika anda bersekolah, vaksin akan diberi di sekolah. Jika anda tidak bersekolah, dapatkannya di klinik kesihatan.

Vaksin ini diberi secara suntikan di lengan sebanyak 3 kali dalam tempoh 6 bulan mengikut jadual berikut:

  1. Suntikan pertama – tarikh pelalian pertama diberi di sekolah/kllinik.
  2. Suntikan kedua – 1 bulan selepas suntikan pertama.
  3. Suntikan ketiga – 6 bulan dari suntikan pertama.

PENGGUGURAN

Apa itu pengguguran?

Pengguguran adalah proses pembuangan janin dari rahim.

 

Fakta mengenai pengguguran

Tahukah anda? Pengguguran adalah HARAM di Malaysia kecuali atas sebab-sebab perubatan. Pengguguran tanpa sebab perubatan adalah satu kesalahan di bawah undang-undang Malaysia.

 

Terfikir Gugurkan Kandungan?

Jika anda terfikir ingin melakukan pengguguran, anda perlu berfikir dengan baik dan banyak perkara perlu dipertimbangkan seperti; kandungan anda, umur anda, pendidikan anda, agama, kewangan anda, sikap ibu bapa anda, sokongan mereka dan lain-lain.

Ini nasihat kami;

  • Dapatkan nasihat dan bantuan daripada orang dewasa yang boleh dipercayai atau anggota kesihatan yang terlatih
  • Elakkan daripada menggunakan khidmat dari pengamal perubatan tradisional atau mereka yang tidak bertauliah
  • Jangan mengambil ubat-ubatan tanpa preskripsi doktor untuk menggugurkan kandungan kerana ia akan menjejaskan kesihatan anda. Contohnya ubat gugurkan kandungan yang dijual secara atas talian.
  • Jangan memakan herba atau makanan tertentu yang tidak diketahui kesan buruknya pada kesihatan anda.

 

Apakah kesan menggugurkan kandungan?

  • Fizikal – pendarahan teruk dan tidak berhenti, jangkitan pada organ pembiakan, kerosakan pada pangkal rahim, rahim tertembus, kemandulan, hamil di luar rahim, histerektomi (buang rahim), kerosakan pada lain-lain organ dan kematian
  • Psikologi – gangguan emosi seperti kemurungan, masalah stress, post trauma, rasa bersalah, masalah tidur dan juga masalah resah gelisah.

PEMBUANGAN BAYI

Kenapa bayi dibuang?

Bayi dibuang kerana malu dan terdesak akibat kehamilan di luar nikah. Ramai remaja yang mengandung di luar nikah terpaksa membuang bayi mereka kerana takut akan akibat yang bakal ditanggung. Pembuangan bayi adalah satu jenayah. Pembuangan bayi adalah satu perbuatan kejam dan salah di sisi undang-undang Malaysia.

 

Apakah kesan pembuangan bayi?

Kesan ke atas bayi
  • Kematian
  • Kesihatan bayi terjejas
  • Terdedah kepada ancaman binatang
Kesan ke atas ibu
  • Rasa bersalah
  • Murung
  • Hilang keyakinan diri
  • Masalah emosi dan perhubungan
  • Putus hubungan kekeluargaan dan rakan-rakan
  • Resah atau gelisah
  • Kesihatan terjejas akibat:
    1. Kehilangan darah
    2. Jangkitan kuman
    3. Kecederaan sewaktu bersalin
  • Dibawa ke muka pengadilan atas tuduhan pembuangan dan pembunuhan bayi

 

Pembuangan bayi dapat dielak dengan……

Elakkan kehamilan jika anda BELUM:

  • Berkahwin
  • Bersedia membesarkan anak
  • Bersedia membina keluarga.
  • Bersedia dari segi pengetahuan keibubapaan, ketahanan emosi dan kemampuan ekonomi
  • Semua agama utama di Malaysia; Melarang seks sebelum kahwin

Sekiranya hamil tetapi tidak bersedia

  • Dapatkan bantuan dari ibu bapa/ guru sekolah sekiranya anda boleh berbincang dengan mereka
  • Dapatkan bantuan di institusi kebajikan kerajaan dan swasta atau diterima sebgai anak angkat
  • Hubungi talian Nur di 15999 untuk mendapat khidmat nasihat
  • Dapatkan bantuan di Perkhidmatan Kesihatan Remaja di semua klinik Kesihatan Kerajaan

 

Implikasi Undang-Undang Pembuangan Dan Pembunuhan Bayi

Di bawah Akta Kanak-kanak 2001 – Akta 611

  1. Seksyen 17 – Anak yang dibuang akan dilindungi dan dijaga
  2. Seksyen 46 – Ibu bapa boleh mendapatkan bantuan atau nasihat mengenai anak mereka yang tidak dapat dikawal dengan baik. Anak ini akan ditahan di tempat yang dibenarkan di bawah kuasa mahkamah

Kes pembuangan bayi disiasat sebagai kes bunuh atau percubaan membunuh bagi memastikan perbuatan tidak berperikemanusiaan itu menerima hukuman berat. Kes bunuh disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, manakala kes percubaan membunuh mengikut Seksyen 307 yang membawa kepada hukuman penjara maksimum 20 tahun.

PENDERAAN SEKSUAL

Apa itu penderaan seksual?

Fizikal:
  • Memasukkan objek atau bahagian tubuh ke dalam faraj, mulut atau dubur
  • Pelaku menyentuh bahagian sulit
  • Pelaku menggosok bahagian sulitnya pada badan atau baju yang sedang dipakai
  • Melakukan hubungan seks
  • Melakukan seks oral
  • Mencium dengan berahi
Bukan Fizikal:
  • Mengintai
  • Mengambil gambar remaja dalam aksi seksual
  • Mempamerkan bahagian alat sulit
  • Dipaksa untuk menonton pelaku melancap
  • Memaksa remaja melancap
  • Memaksa remaja menonton bahan pornografi
  • Memberi komen-komen lucah kepada remaja sama ada secara lisan atau bertulis

*Jika anda tidak mahu ini terjadi atau anda fikir perbuatan ini salah – bertindaklah sekarang


Apa yang anda perlu lakukan sekiranya anda menerima layanan seks?

Jika ini berlaku kepada anda maka katakan dengan tegas ‘SAYA TIDAK MAHU INI’. Jika mereka tetap memaksa anda, beritahu mereka bahawa anda akan memberitahu seseorang tentang mereka dan kemudian bangun dan pergi jauh dari mereka. Jika mereka mengancam anda, cepat-cepatlah beritahu orang lain yang anda percayai seperti ibu bapa anda, guru, atau saudara mara. LAKUKAN SEGERA – JANGAN TUNGGU TERLALU LAMA. Jika terlalu lambat, mereka akan melakukan penderaan seksual secara berterusan, dan anda mungkin merasakan bahawa anda tidak boleh memberitahu sesiapa pun.

 

Bagaimana anda boleh menghalang penderaan seks atau serangan seks?

  • Hadkan pergaulan
  • Berpakaian sopan
  • Cuba jauhkan diri daripada rakan yang bermasalah sosial
  • Beritahu ibubapa kemana anda pergi dan dengan siapa
  • Jangan mudah mengikuti orang yang tidak di kenali
  • Elakkan dari melepak di tempat yang gelap dan sunyi
  • Elakkan dari membaca atau melihat bahan yang berunsur pornografi
  • Sekiranya seseorang menunjukkan alat kemaluan atau meminta anda menyentuh kemaluannya, jangan beri perhatian tetapi beritahulah orang dewasa yang boleh dipercayai

 

Apa perlu dilakukan jika anda adalah mangsa penderaan seksual?

  • Hindari dari rasa bersalah kerana bukan kehendak diri
  • Beritahu kepada ibu bapa atau orang yang anda percayai
  • Lapor kejadian secepat yang mungkin seperti balai polis,hospital atau klinik berdekatan
  • Helpline Malaysia:
  1. Pertubuhan Pertolongan Wanita (Women’s Aid Organisation)- 03-79563488
  2. All Women Action Society of Malaysia (AWAM)-03-79570224/www.awam.org.my
  3. TELEDERA-1-800-883040
  4. BEFRIENDERS-03-79568144/www.befrienders.org.my
  5. Protect and Save The Children (P.S The Children)- 03-749931303/www.psthechildren.org.my