SAYA AKAN MEMILIH TINGKAHLAKU YANG SELAMAT UNTUK MENGELAKKAN DIRI DARIPADA JANGKITAN HIV/AIDS

02 09-2017
SAYA AKAN MEMILIH TINGKAHLAKU YANG SELAMAT UNTUK MENGELAKKAN DIRI DARIPADA JANGKITAN HIV/AIDS

hiv_aids2

Amalan seks tidak selamat boleh mengundang penyakit berjangkit seperti HIV/AIDS. Kajian HIV Kebangsaan mendapati kadar notifikasi HIV dalam kalangan remaja Malaysia berumur 13-19 tahun telah bertambah daripada 1.97 per 100,000 populasi remaja (2013) kepada 2.25 per 100,000 populasi remaja (2015). Kajian ini juga menunjukkan peningkatan jangkitan HIV yang signifikan dalam kalangan homoseks di Malaysia dari 8.0% (2010) kepada 46.0% (2016).

Apa itu HIV?

Human – Menyerang manusia

Immunodeficiency – Sistem pertahanan tubuh (antibodi) lemah atau kurang kebal

Virus – Virus yang tidak boleh dibunuh

HIV adalah virus merbahaya yang menyerang sistem pertahanan tubuh manusia dan menjadikan ia lemah atau kurang kebal.

Apa itu AIDS?

Acquired – Anda perlu lakukan sesuatu untuk terkena HIV/AIDS

Immune – Sistem pertahanan tubuh

Deficiency – Menurun

Syndrome – Mempunyai gejala-gejala sesuatu penyakit

AIDS adalah penyakit yang disebabkan oleh jangkitan HIV. Penyakit ini menyebabkan sistem pertahanan tubuh menurun dan timbul tanda-tanda seperti demam, sakit tekak, ruam, cirit birit, kelenjar bengkak, hilang selera makan dan berpeluh pada waktu malam. Seseorang boleh terkena jangkitan HIV melalui:

  1. Darah
  2. Air mani
  3. Cairan vagina
  4. Susu ibu

Hubungan seks dengan individu yang dijangkiti HIV

Semasa hubungan seks, HIV daripada seseorang yang dijangkiti akan masuk ke dalam badan individu yang belum dijangkiti melalui salur darah yang terdedah akibat luka. HIV boleh berjangkit daripada lelaki ke lelaki, lelaki ke perempuan, perempuan ke lelaki atau perempuan ke perempuan. Jangkitan HIV boleh berlaku apabila ada ejakulasi (lelaki) atau menarik balik organ (withdraws) sebelum ejakulasi. Ini adalah kerana HIV ada di dalam cecair sebelum ejakulasi. Seseorang itu akan lebih berisiko sekiranya dia:

  1. Mempunyai ramai (lebih dari satu) pasangan seks
  2. Mengadakan hubungan seks dengan pelacur
  3. Mempunyai lain-lain jangkitan kelamin seperti sifilis, gonorrhoea dan herpes.

Berkongsi jarum, jarum suntikan atau peralatan suntikan dadah yang lain

Apabila seseorang yang telah dijangkiti HIV menyuntik dadah, cecair daripada darah yang telah dijangkiti HIV akan kekal pada peralatan suntikan. Orang kedua yang menggunakan peralatan tersebut boleh dijangkiti HIV.

Apakah langkah-langkah yang boleh diambil oleh remaja bagi mengelakkan jangkitan HIV?

  1. Elak daripada melakukan seks sebelum berkahwin
  2. Tidak bercium mulut dengan seseorang yang telah dijangkiti HIV – kemungkinan ada luka
  3. Ubah gaya hidup – berhenti melakukan tingkah laku seks berisiko dan lakukan ujian saringan HIV
  4. Tidak mengambil dadah yang diharamkan
  5. Tidak berkongsi jarum
  6. Ikuti langkah berjaga-jaga universal seperti memakai sarung tangan apabila perlu bersentuhan dengan darah dan cecair badan.

Apakah peranan ibu bapa dan keluarga dalam menangani jangkitan HIV?

  1. Memberi pendidikan agama dan memastikan pegangan agama anak-anak kuat – seks luar nikah, kehidupan homoseksual dan pengambilan dadah adalah dilarang dalam semua agama yang dianuti.
  2. Memantau pergerakan anak-anak dan mengambil tahu dengan siapa mereka bergaul.
  3. Lengkapkan diri dengan pengetahuan mengenai kesihatan seksual dan reproduktif.
  4. Memberi pendidikan kesihatan seks yang secukupnya kepada anak-anak.
  5. Memastikan institusi keluarga dikukuhkan kerana masalah rumahtangga boleh menyebabkan anak-anak terjebak dalam tingkahlaku berisiko.
  6. Menunjukkan teladan dan contoh yang baik kepada anak-anak.
  7. Memberi kasih sayang yang secukupnya kepada anak-anak.

Sekiranya anda berisiko untuk mendapat jangkitan HIV, apakah yang boleh anda lakukan?

Remaja berumur kurang dari 18 tahun perlu berbincang dengan ibu bapa atau penjaga terlebih dahulu sebelum melakukan ujian HIV. Buat temujanji di klinik kesihatan yang dirasakan sesuai oleh kedua ibu bapa serta remaja. Ujian antibodi HIV adalah satu-satunya cara untuk mengesahkan seseorang itu telah dijangkiti HIV. Ujian yang positif bermaksud seseorang itu mempunyai HIV (HIV positif). Sekiranya seseorang remaja itu disahkan menghidapi HIV, doktor akan berbincang bersama-sama remaja dan keluarganya untuk rawatan yang seterusnya. SESEORANG YANG DIJANGKITI HIV TIDAK AKAN SEMBUH. Ubat yang diberikan boleh memperlahankan progres daripada HIV ke AIDS. Kaunseling akan diberikan kepada remaja yang dijangkiti HIV serta kedua ibu bapa bagi membantu melawan kesan psikologi seperti ketakutan, kemurungan, hilang keyakinan diri dan sebagainya.

LAWAN HIV/AIDS DENGAN GAYA HIDUP SIHAT. HINDARI SEKS BEBAS.

MyCAP75, Universiti Malaya, Kuala Lumpur

Related article

  • 30 08-2017
    “Berapa lama saya boleh bagi anak saya guna internet dalam sehari?”- Panduan kepada Ibu Bapa Dalam Mengawal Penggunaan Internet dan Dunia Digital

    Sebagai ibu bapa, kita pasti ingin memberi yang terbaik dalam membesarkan anak-anak kita. Dalam dunia digital ini, timbul pelbagai persoalan berkenaan cara terbaik memberi didikan kepada anak-anak terhadap penggunaan internet dan media elektronik. Salah satu soalan yang popular di...

    Read more...
  • 15 08-2017
    COPING MECHANISMS for EXAM STRESS: TIPS for PARENTS – BY DR KHOO YI YI

      Recent reports on the tragic and untimely deaths of teens who decided to take their own lives due to stressors of exams struck a chord with me and thus prompted me to write this piece. It brought me...

    Read more...
  • 10 08-2017
    How can parents help kids cope with bully?

    Ryan is a 13 year old boy who struggles with his academic and physical disabilities. He has speech, language and motor skills development problems which led him to receiving special education services from preschool till primary school. This problem...

    Read more...

Leave comments

Your email address will not be published.