Tingkah Laku Berisiko

Alcohol

Pengenalan Tingkah Laku Berisiko

Tingkah laku berisiko adalah kelakuan yang menyimpang secara signifikan daripada norma-norma yang ditentukan untuk individu dalam status sosial. Tingkah laku berisiko terbahagi kepada tingkah laku seksual, tingkah laku penyalahgunaan, tidak berintegriti, tidak berperaturan dan jenayah.

Tingkah laku berisiko dalam hubungan seksual dan penyalahgunaan bahan (alkohol, merokok dan dadah) telah dibuktikan menjadi penyebab kepada berlakunya gangguan kesihatan mental terutamanya kepada remaja selain daripada pencapaian akademik, masalah percintaan, dan kesihatan.

Tingkah Laku Seksual Berisiko

Tingkah laku seksual berisiko ialah tingkah laku mencari pasangan seks, memperoleh persetujuan pasangan, membentuk hubungan intim, menunjukkan nafsu berahi serta persetubuhan. Menurut pakar, tingkah laku seksual berisiko adalah hubungan antara dua orang dengan berlainan jenis kelamin serta terjadi hubungan seksual tanpa adanya ikatan pernikahan. Mereka tidak berpegang pada moral atau nilai-nilai kemanusiaan.

Tingkah laku seksual berisiko yang dialami oleh golongan remaja adalah satu kaedah bagaimana remaja meluah dan melepaskan dorongan seksual, hasil daripada kematangan organ seksual dan perubahan hormon dalam berbagai-bagai bentuk tingkah laku seksual seperti hubungan intim, bercumbu, hingga melakukan hubungan seksual. Tingkah laku tersebut dinilai tidak sesuai dengan norma kerana remaja belum memiliki pengalaman tentang seksual. Pakar juga menyatakan bahawa tingkah laku seksual berisiko adalah segala tingkah laku yang didorong oleh hasrat seksual, baik dengan lawan sejenisnya mahupun sesama jenis.

Penyalahgunaan Barang Berbahaya

1. APAKAH PENYALAHGUNAAN BAHAN BERBAHAYA?

drink alcohol

Penyalahgunaan bahan berbahaya merujuk kepada penggunaan bahan psikoaktif seperti alkohol dan dadah terlarang.

Penyalahgunaan alkohol atau pengambilan arak didefinisikan sebagai ketagihan yang mengakibatkan satu atau lebih daripada situasi-situasi berikut dalam tempoh 12 bulan.

  • Kegagalan untuk melaksanakan tanggungjawab di tempat kerja, sekolah atau rumah.
  • Minum dalam situasi yang merbahaya, seperti semasa memandu kereta atau mengendalikan jentera.
  • Pengambilan alkohol sehingga dikenakan tindakan undang-undang seperti ditangkap kerana memandu di bawah pengaruh alkohol atau mengakibatkan kecederaan fizikal semasa dalam keadaan mabuk.
  • Berterusan mabuk walaupun menghadapi masalah dalam perhubungan yang berpunca daripada pengambilan alkohol.

2. STATISTIK

statss

Global

Pengambilan alkohol yang berlebihan mengakibatkan 3.3 juta kematian setiap tahun.

Penggunaan alkohol di seluruh dunia pada tahun 2010 adalah bersamaan 6.2 liter alkohol yang diambil oleh seseorang yang berusia 15 tahun ke atas. Ini bersamaan dengan pengambilan 13.5 gram alkohol setiap hari.

Pengambilan alkohol secara berlebihan dikalangan remaja berusia 15 tahun ke atas di seluruh dunia adalah seramai 16.0%.

Pada tahun 2012, statistik dunia melaporkan 5.9% daripada jumlah kematian global adalah berpunca daripada pengambilan alkohol.

Malaysia

Pada tahun 2012, kira-kira 8.5% belia Malaysia di bawah umur 18 tahun mengambil alkohol.

Dianggarkan 6.9% daripada warganegara Malaysia berumur antara 15 dan 19 tahun adalah peminum biasa dan 1.6% daripada remaja-remaja yang berumur antara 13 dan 14 tahun pernah mengambil alkohol.

Kadar pengambilan alkohol tertinggi adalah di Kuala Lumpur (19.3%), Sarawak (17.8%), Sabah dan Labuan (16.4%) dan Pulau Pinang (14.2%). Manakala di kawasan Putrajaya, Kelantan dan Terengganu mencatatkan kadar yang paling rendah.

Bir merangkumi kira-kira 60% daripada semua alkohol yang diambil. Wain adalah 17%, diikuti oleh Shandy sebanyak 13% dan pelbagai jenis spirits adalah 10%.

Di Malaysia, pengambilan arak oleh remaja bawah umur adalah seramai 45% dan situasi ini amat membimbangkan kerana:

  • Pengambilan alkohol mengganggu proses tumbesaran remaja di mana ia mengganggu perkembangan otak dan fikiran.
  • Pengambilan arak boleh mengakibatkan pelajar menghadapi masalah ketika belajar. Ini mendatangkan kesan negatif pada kehidupan dan kesukaran untuk memperoleh kejayaan dalam bidang akademik.
  • Berkait rapat dengan isu bunuh diri di kalangan remaja.
  • Mempengaruhi remaja untuk terjebak dalam tingkahlaku vandalisme atau jenayah.
  • Mengakibatkan remaja terlibat dalam kegiatan seks bebas.
  • Remaja yang minum pada usia yang muda akan lebih cenderung untuk mengambil dadah.

3. JENIS-JENIS ARAK (MINUMAN BERALKOHOL)

Alcohol causing 5,000 deaths a year

Arak merujuk kepada semua minuman yang mengandungi alkohol. Semua jenis minuman ini mengandungi etanol. Ini mengakibatkan sesiapa sahaja yang meminumnya akan mabuk. Alkohol merupakan sejenis dadah rekreasi, tetapi akibat penggunaan yang berlebihan menyebabkan mereka gagal untuk melihatnya dengan cara itu.

Berikut adalah jenis minuman beralkohol yang diketahui umum:

  • Bir: dipercayai arak yang paling lama diminum. Ia merupakan minuman yang diperoleh dari hasil peragian pelbagai kanji termasuk barli malta, beras, gandum atau jagung.malt dan hop, serta memiliki kadar alkohol 3%-5%.
  • Cider: kadang-kadang disebut wain epal kerana ia diperbuat daripada jus epal bertapai.
  • Arak: boleh diwujudkan daripada penapai anggur atau buah-buahan lain dan memiliki kandungan alkohol antara 16%-30%.
  • Spirit: dikenali di kalangan peminum alkohol sebagai minuman yang disuling untuk membuat mereka berasa lebih bertenaga.

 

arak kadar

4. MENGAPA REMAJA MENYALAHGUNAKAN ALKOHOL?

  • Ingin berada di kalangan rakan-rakan yang mengambilnya
  • Berasa bangga apabila meminumnya
  • Berasa seperti dewasa
  • Mereka teruja untuk mencuba sesuatu yang baru
  • Terdapat ahli keluarga yang mengambil alkohol atau ketagihan alkohol
  • Berasa rendah diri
  • Menghidap penyakit mental seperti kemurungan
  • Berasa tidak disayangi dan dihargai oleh ahli keluarga

 

anak muda

5. TANDA-TANDA AMARAN PENGGUNAAN ALKOHOL DI KALANGAN REMAJA

mbukan

 

  • Fizikal: keletihan, aduan masalah kesihatan yang berulang, mata merah dan berkaca serta batuk yang berpanjangan.
  • Emosi: perubahan personaliti, perubahan mood secara tiba-tiba, cepat marah, rendah diri, pertimbangan yang lemah, kemurungan dan kekurangan minat.
  • Keluarga: memulakan pergaduhan, melanggar peraturan atau menyisihkan diri daripada ahli keluarga.
  • Sekolah: kurang minat, sikap negatif, keputusan peperiksaan yang merosot, ponteng sekolah dan masalah disiplin.
  • Masalah sosial: terpengaruh dengan kawan-kawan yang – kurang berminat untuk pulang ke rumah; tidak gemar menyertai aktiviti sekolah; melanggar peraturan; mengubah gaya, pemakaian dan muzik yang didengari kepada yang kurang konvensional (lazim/ biasa).

6. MITOS PENYALAHGUNAAN ALKOHOL

kecanduan

Mitos 1: Saya boleh berhenti minum bila-bila masa saya kehendaki

Terdapat kemungkinan seseorang yang cuba untuk berhenti minum arak (berkemungkinan berjaya atau sebaliknya), tetapi itu hanya alasan sahaja untuk terus minum. Hakikatnya, mereka tidak mahu berhenti. Dengan cara memberitahu bahawa boleh berhenti membuat mereka berasa dalam kawalan walaupun tidak berjaya.

Mitos 2: Mengambil alkohol adalah masalah saya. Saya yang merasai kepahitan, jadi tiada siapa berhak untuk memberitahu saya untuk berhenti.

Keputusan untuk berhenti minum adalah pilihan peribadi, tetapi ketagihan arak memberi kesan negatif kepada semua orang di sekeliling terutamanya ahli keluarga dan sahabat terdekat.

 

Mitos 3: Saya tidak minum setiap hari, maka saya tidak ketagih. Dengan mengambil wine atau bir sahaja tidak semestinya saya ketagih juga.

Ketagihan arak bukan pada apa yang diminum, tetapi kesan daripada ketagihan itu. Jika masalah ketagihan boleh mengakibatkan masalah atau gangguan di tempat kerja atau rumah, maka masalah ketagihan tetap ada. Tidak bergantung pada kekerapan, kuantiti dan jenis minuman yang diambil.

Mitos 4: Saya tidak ketagih alkohol kerana saya mempunyai pekerjaan dan kehidupan yang selesa.

Hanya kerana penagih alkohol itu seorang yang berkerjaya, itu tidak bermakna mereka tidak berada dalam keadaan yang selamat. Lama-kelamaan, mereka akan terkena kesan alkohol.

Mitos 5: Ketagihan alkohol bukan seperti penyalahgunaan dadah.

Alkohol adalah sejenis dadah dan kerosakan akibat ketagihan arak sama seperti pengambilan dadah. Ketagihan alkohol menyebabkan perubahan dalam badan dan otak, Penyalahgunaan alkohol dalam jangka panjang boleh memberi kesan buruk pada kesihatan, kerjaya dan perhubungan.

7. PENCEGAHAN

no alcohol

Pencegahan penyalahgunaan alkohol yang berkesan memerlukan penyampaian mesej yang konsisten. Ia boleh disampaikan melalui sekolah, ibu bapa, rakan sebaya dan masyarakat bermula dari kanak-kanak hinggalah remaja. Tujuan utama adalah untuk melambatkan usia bermulanya penggunaan alcohol. Oleh itu, sebagai seorang remaja, apa yang boleh anda lakukan untuk melindungi diri anda dan mengurangkan risiko masalah penyalahgunaan alkohol?

Berikut adalah 10 langkah untuk menjauhkan diri daripada ketagih alkohol.

  1. Jangan takut untuk berkata TIDAK. Tiada siapa yang boleh membuat keputusan untuk diri anda. Jauhkan diri daripada individu yang bersikap negatif.
  1. Membina perhubungan yang sihat dengan rakan-rakan anda dan elakkan tekanan rakan sebaya yang negatif. Jauhkan diri daripada berada dalam kelompok rakan-rakan yang mengambil arak atau dadah.
  1. Menjadi sahabat kepada ibu bapa anda. Bina hubungan yang mesra dengan ibu bapa untuk berkongsi masalah dan berbual tentang kehidupan. Belajar untuk memahami pengalaman hidup dan perolehi manfaat daripada kisah mereka.
  1. Menikmati kehidupan dan melakukan apa sahaja yang membahagiakan diri. Jauhi alkohol. Alkohol akan merumitkan kehidupan dan menghadkan potensi diri. Cari aktiviti yang menyeronokkan seperti menjadi sukarelawan, bergiat dalam bidang sukan, seni atau apa sahaja aktiviti yang positif.
  1. Mengikut peraturan keluarga tentang alkohol. Dapatkan kepercayaan dan rasa hormat daripada ibu bapa. Jangan biarkan masalah membabitkan alkohol menjadi penghalang kepada hubungan kekeluargaan.
  1. Mendapatkan maklumat tentang alkohol. Jangan bergantung pada mitos dan salah faham yang diperolehi daripada kawan-kawan dan internet. Keupayaan untuk membuat keputusan yang baik adalah dengan mendapatkan maklumat yang tepat. Sentiasa berkongsi ilmu yang dipelajari dengan keluarga dan rakan.
  1. Menjadi contoh dan menunjukkan aura positif. Jangan lupa, apa yang anda lakukan adalah lebih penting daripada apa yang anda katakan! Anda yang menetapkan asas dan hala tuju untuk kehidupan di masa akan datang.
  1. Anda perlu merancang untuk melindungi diri sendiri dan bertindak bijak. Jangan menjadi mangsa penggunaan alkohol orang lain. Pastikan bahawa ada seseorang yang anda boleh harapkan ketika memerlukannya. Lakukan perkara yang sama untuk rakan-rakan anda.
  1. Berani bersuara dan kawal diri. Bertanggungjawab untuk kehidupan, kesihatan dan keselamatan anda. Bercakap dan berbincang mengenai pengaruh alkohol bersama rakan-rakan dan orang di dalam komuniti anda. Beri galakan kepada orang lain untuk bersama-sama memerangi alkohol dan dadah.
  1. Dapatkan bantuan. Jika anda atau seseorang yang anda kenal berada di dalam kesusahan akibat penggunaan alkohol, sila dapatkan bantuan segera. Jangan berlengah kerana ramai yang sudi menghulurkan bantuan.

8. PERLUKAN BANTUAN?

infographic alcohol

Sehingga akhir 1990-an, kaedah utama bagi menangani masalah penagihan dadah (termasuk alkohol) adalah dengan menguatkuasakan pemulihan di pusat-pusat tahanan. Pendekatan ini tidak begitu berjaya. Kini, terdapat kaedah-kaedah lain untuk menangani penyalahgunaan alcohol untuk remaja. Ibu bapa boleh mempertimbangkan pilihan-pilihan berikut:

  • Rumah Ikhtiar. Matlamat Rumah Ikhtiar adalah untuk mengintegrasikan kembali penagih dengan masyarakat. Sepanjang tempoh berada di Rumah Ikthtiar, mereka diajar kemahiran hidup dan pelbagai jenis latihan agar mereka boleh meneruskan kehidupan selepas keluar nanti. Rumah Ikhtiar: No. 65 Ladang Timur, Divisyen B,Sime Darby Plantation, 42960 Pulau Carey, Selangor. No. Tel : 013-2566918 En. Hanapiah bin Abu Shahir
  • Narcotics Anonymous menawarkan 12 langkah penyelesaian untuk membantu individu mengatasi ketagihan mereka. Program ini juga bertujuan untuk membantu dalam mencari kebahagiaan sebenar dalam hidup. Hubungi: David F.+6 016 333 2605 davidpf89@gmail.com/ na-gasing@hotmail.com
  • Persatuan Psikologi Malaysia adalah sebuah pusat untuk terapi ketagihan. Mereka menawarkan seminar dan sesi perundingan daripada panel psikologi yang berpengalaman. Ia bertujuan untuk membantu memahami tingkah laku, pemikiran dan emosi yang negatif dan menggantikan dengan corak yang lebih produktif dan positif. (http://psima.org.my/)
  • Sesetengah rakyat Malaysia juga boleh ke luar negara untuk mencari bantuan terbaik bagi menangani masalah ketagihan mereka. Antaranya ialah Rawatan dan Pemulihan Dadah di Thailand (Thanyarak Institute) yang merupakan pusat yang pertama menggunakan Bahasa Inggeris sebagai perantaraan dan yang terbesar di Asia.